Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, graduan sangat memerlukan lonjakan terutama berkaitan dengan bidang keusahawanan memandangkan ia merupakan satu isu yang besar dalam kalangan graduan pada masa ini.

 

“Realiti sekarang ialah peluang pekerjaan dalam sektor awam berkurangan manakala sektor swasta pula tidak mampu menampung graduan bagi menyediakan mereka dengan pekerjaan.

 

“Sebagai contoh, syarikat swasta tidak dapat menyediakan kilang-kilang yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada beratus ribu graduan dalam masa setahun. Oleh sebab itu mutu kebolehpasaran graduan dari segi pengetahuan akademik, kemahiran insaniah dan keusahawanan sangat penting,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan PPPM (PT) yang bakal menjadi pemangkin kepada transformasi negara untuk bersaing di peringkat global.

 

Pelan berkenaan menggariskan 10 lonjakan serta lima aspirasi sistem itu yang diyakini dapat melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan mampu memberi sumbangan kepada negara.

 

Menurut Alimuddin, trend masa hadapan memerlukan graduan mewujudkan peluang kerjaya sendiri dan dalam masa yang sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

 

“Keusahawanan merupakan salah satu bidang utama yang dapat mewujudkan peluang kerjaya sendiri dan dengan itu graduan tidak akan menghadapi masalah kebolehpasaran dengan adanya 10 lonjakan dalam PPPM (PT).

 

“Pelan ini juga dapat memberi kesan yang baik kepada institusi pendidikan sekali gus mengatasi masalah peluang pekerjaan,” katanya.

 

Sumber: Utusan Online