5 April 2020, Sunday | 04:54pm

Penuhi keperluan pendidikan, perkembangan globalisasi

"Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) melangkaui pendidikan semata-mata. Sebaliknya, pelan ini menyediakan satu hala tuju baharu yang akan menentukan masa depan negara."

Kenyataan yang cukup hebat itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran PPPM (PT) di Kuala Lumpur, semalam. Kenyataan itu menggambarkan kepentingan pendidikan kepada sesebuah negara.

Ia juga mencerminkan matlamat Kementerian Pendidikan dalam memperkenalkan PPPM (PT) itu, iaitu untuk meningkatkan standard sistem pendidikan tinggi serta memenuhi permintaan dan keperluan landskap pendidikan yang kian berubah berikutan perkembangan teknologi dan globalisasi.

Ambil kira kepentingan pelajar

Ingin saya nyatakan bahawa PPPM (PT) ini berfokuskan pelajar dan setiap usaha yang diterajui Kementerian Pendidikan adalah mengambil kira kepentingan pelajar sebagai keutamaan.

Persoalan yang sering ditanyakan kepada saya ialah: "Bagaimanakah PPPM (PT) akan dimanifestasikan?" Untuk menjawab soalan itu, izinkan saya berkongsi cerita mengenai tiga rakan, iaitu Hasiah, Chong dan Jamie. Menerusi cerita ini, saya ingin memberi bayangan masa depan sistem pendidikan tinggi negara, serta kesinambungan yang ada daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (prasekolah hingga lepas menengah).

Setelah selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menamatkan sekolah menengah, Hasiah diberikan tawaran untuk mengikuti Program Sains Alam Sekitar di Universiti Sains Malaysia (USM). Keputusan untuk menerima tawaran berkenaan adalah mudah, iaitu kerana Program Sains Alam Sekitar universiti itu adalah antara yang terbaik di dunia (di kedudukan ke-28 ranking universiti dunia).

Hasiah juga boleh mendapat biasiswa penuh daripada dana wakaf USM yang cukup untuk menampung pembiayaan yuran dan elaun harian. Dana wakaf USM itu besar kerana ramai alumni USM menyumbang kepadanya.

Persaingan dalam Program Sains Alam Sekitar itu cukup hebat berikutan ramai pelajar antarabangsa yang mengambilnya. Mereka berminat untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai hutan tropika di Malaysia dan memahami potensi ekonominya. Persaingan ini memastikan Hasiah sentiasa proaktif dalam pengajiannya.

Pensyarah kegemaran Hasiah adalah Profesor Lim. Bukan sahaja beliau mempunyai pedagogi yang hebat, tetapi juga beliau meluangkan masa yang banyak untuk mengajar pelajarnya. Profesor Lim adalah pensyarah dari trek karier 'mengajar', iaitu salah satu daripada empat trek pembangunan kerjaya yang terdapat di bawah PPPM (PT).

Buku kegemaran Hasiah pula adalah bertajuk Padi Di Sana Sini yang ditulis oleh Profesor Akira, seorang pakar padi berasal dari Jepun yang mengajar di USM. Beliau pula di bawah trek kerjaya 'penyelidikan' yang membolehkannya meluangkan masa yang lebih untuk penyelidikan dan penulisan tetapi kurang masa untuk mengajar kelas pengajian.

Setelah graduasi, Hasiah berkemungkinan bekerja di pusat kajian padi kerana mendapat tawaran pekerjaan daripada Vinod, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan. Vinod mengenali Hasiah kerana mengajar satu kelas setiap bulan di USM di bawah program 'Ikon Profesional' di mana beliau dan beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat yang lain memberi komitmen untuk mengajar selama 30 jam setiap tahun di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.

Beberapa tahun selepas itu, Hasiah berkeupayaan membuka kedai bunga sendiri menggunakan kemahiran yang telah dipelajari daripada kelas keusahawanan ketika di USM. Kemungkinannya dia lebih berminat untuk menjadi bos sendiri dan menjadi pencipta pekerjaan daripada hanya menjadi pencari pekerjaan.

Chong pula adalah kawan Hasiah. Chong telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PT3. Ini termasuk gred A untuk mata pelajaran Sains. Menariknya, keputusan pentaksiran psikometrik (PPsi) Chong, yang adalah sebahagian daripada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), menunjukkan bahawa Chong sebenarnya lebih cenderung kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Chong sebenarnya tidak pasti sama ada untuk memasuki aliran sains ataupun teknik dan keputusan pentaksiran psikometrik itu telah meyakinkannya bahawa aliran teknik adalah pilihan yang seharusnya dia ikuti.

Chong boleh memilih untuk ke Kolej Vokasional, antaranya KV Tawau yang adalah antara yang terbaik di Malaysia. Kemudian, beliau boleh meneruskan pengajian ke satu daripada politeknik, termasuk Politeknik Ibrahim Sultan yang adalah sebuah politeknik berstatus 'premier' kerana ia boleh mengeluarkan ijazah sarjana muda.

1.3 juta pekerjaan tahun 2020

Antara kursus yang ditawarkan termasuk diploma kejuruteraan mekatronik dan mekanikal, sijil kejuruteraan elektrik dan elektronik, diploma reka bentik grafik, fesyen dan pakaian serta diploma pengurusan hotel dan katering.

Ada 33 politeknik dan 91 kolej komuniti di seluruh Negara yang menawarkan program dalam bidang TVET. Peluang pekerjaan begitu banyak kerana menjelang tahun 2020, dijangkakan lebih 1.3 juta pekerjaan dalam sektor kemahiran akan diperlukan di negara ini.

Bagi Jamie pula, ceritanya agak berbeza daripada Hasiah dan Chong. Selepas tamat sekolah menengah, Jamie kurang berminat untuk meneruskan pendidikan serta-merta. Berikutan itu, Jamie mengambil keputusan untuk bekerja separuh-masa sebagai mekanik.

Akhirnya, kerja sambilan itu menjadi sepenuh masa kerana Jamie begitu meminati bidang berkenaan setelah mendapat latihan kemahiran daripada sebuah institusi latihan kemahiran tempatan.

Selepas 10 tahun berlalu, Jamie membuat keputusan untuk menyambung pendidikannya. Dia berminat untuk mengikuti program dalam bidang perniagaan kerana ingin membuka kedai sendiri. Jamie boleh memohon untuk sijil Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang dikendalikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sijil APEL adalah sijil pengiktirafan pengalaman pekerjaan yang melayakkan seseorang itu terus menyambung pendidikan ke peringkat tinggi seperti ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana.

APEL iktiraf pengalaman pekerjaan

Dengan pengalaman selama 10 tahun itu, Jamie berkemungkinan layak untuk terus mengikuti program ijazah sarjana perniagaan (MBA) tanpa perlunya ijazah sarjana muda. Pengiktirafan pengalaman pekerjaan adalah melalui APEL, iaitu salah satu inisiatif di bawah PPPM (PT) yang berhasrat untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Jamie tidak perlu meninggalkan pekerjaannya sebagai mekanik kerana melalui konsep Massive Open Online Courses (MOOCs) dan 'blended learning' (pembelajaran bercampur), dia boleh menonton video kursus di mana-mana sahaja dan hanya perlu ke kelas untuk membincangkan apa yang dipelajari melalui video berkenaan. MOOCs membolehkan proses pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih fleksibel dan dinamik.

Cerita Hasiah, Chong dan Jamie adalah gambaran mengenai kedudukan semasa sistem pendidikan kita dan juga bayangan masa depannya. Berikutan itu, PPPM (PT) berhasrat untuk menghasilkan graduan holistik, berciri keusahawanan, dan seimbang; untuk melahirkan pencipta pekerjaan dan bukan sahaja pencari pekerjaan; untuk meletakkan TVET pada taraf yang sama dengan program akademik sedia ada dan untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam membolehkan hasrat itu dicapai, Kementerian Pendidikan akan menggunakan teknologi terkini seperti MOOCs dan pendekatan berinovasi seperti pembelajaran bercampur, meningkatkan lagi penyertaan industri dan memastikan kemapanan kewangan dalam kalangan institusi pendidikan tinggi.

Trek kerjaya yang komprehensif dan bersasar, iaitu sebagai pensyarah, penyelidik, pemimpin dan profesional juga akan diperkenalkan untuk memperkasakan profesion sebagai ahli akademik.

Akhir kata, visi Kementerian Pendidikan adalah jelas, dan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, kami komited untuk memastikan bahawa sistem pendidikan meningkat secara berterusan.

Sumber: BHOnline