5 April 2020, Sunday | 04:34pm

Graduan berciri keusahawanan diutama

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), dirangka selaras aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi terbaik bagi membolehkan negara bersaing dalam ekonomi dunia.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, perubahan besar turut membabitkan peranan kementerian yang antara lain bertujuan mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang berupaya melahirkan graduan berciri keusahawanan yang mencipta pekerjaan, bukan sekadar makan gaji.

Kemahiran selaras keperluan industri

Pembangunan sistem baharu ini bukan hanya tertumpu kepada laluan akademik biasa, sebaliknya menekankan laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi peningkatan kemahiran mengikut permintaan industri.

Tumpuan turut diberikan kepada keberhasilan berbanding input, selain penggunaan teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Pembangunan sistem inovasi berteraskan beberapa bidang strategik akan menyokong penyelidikan universiti, model pembangunan dan pengkomersialan hasil kajian.

Kawal selia antara universiti awam dan swasta juga akan diperkukuhkan, selain peralihan daripada sistem tadbir urus berpusat masa kini kepada model yang lebih autonomi dalam rangka kerja perundangan yang ditetapkan.

Justeru, universiti awam dan swasta akan beroperasi secara bebas dalam lingkungan kerja pengawal seliaan yang diwujudkan kerajaan, seiring struktur tadbir urus yang mantap, hak membuat keputusan serta keberkesanan dalam pengurusan pihak berkepentingan.

Jimat sumber kerajaan

Aspek lain ialah memastikan kemapanan kewangan dengan cara mengurangkan kebergantungan pada sumber kerajaan dan pemegang taruh, selain penyaluran sumbangan oleh pihak berkepentingan.

Sementara itu, universiti awam dan swasta akan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk meningkatkan kualiti program secara berterusan, lebih berhemat dan inovatif dalam penggunaan sumber.

Kementerian juga menyasarkan peningkatan pendidikan tinggi ke tahap antara tertinggi di ASEAN menjelang tahun 2025.

Bagaimanapun, bentuk sebenar peningkatan berdasarkan bilangan tempat dan profil program akan ditentukan secara kerjasama dengan industri bagi memastikan penawaran sepadan dengan permintaan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/46280