24 May 2019, Friday | 11:53pm

UIAM universiti Islam pertama Malaysia

Sejarah awal penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula pada 1977 dengan penerimaan resolusi yang dicapai pada Persidangan Pendidikan Islam Antarabangsa pertama di Universiti Raja Abdul Aziz, Mekah.

Pada 1982, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengusulkan cadangan tersebut ke Kabinet bagi menubuhkan sebuah universiti Islam dengan kos per­belanjaan yang dibiayai oleh negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan beberapa buah negara Islam.

Akhbar Utusan Malaysia pada muka depan bertarikh 7 Mac 1982 bertajuk “Universiti Islam di Malaysia” melaporkan, Dr. Mahathir berkata, penubuhan sebuah universiti Islam antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris dan Arab atas cadangan Malaysia akan dilaksanakan di negara ini pada tahun depan (1983).

Dalam laporan itu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia telah me­nubuhkan satu jawatankuasa dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan OIC yang berminat dalam penubuhan universiti itu.

Menurutnya, penubuhan UIAM itu dibiayai sepenuhnya oleh negara-negara Islam dan bukan ditadbir oleh Malaysia. Konsep penubuhan universiti itu merupakan rancangan baharu kepunyaan dunia Islam sama seperti Pusat Seamac di Pulau Pinang.

Laporan itu memetik, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Ahmad Shah atas nasihat Perdana Menteri telah berkenan menandatangani ‘Surat Cara” penubuhan UIAM di Kuala Lumpur pada 20 Mei 1983 berdasarkan Akta Universiti dan Universiti Kolej (Pindaan) 1983 di Kuala Lumpur.

Pada 17 Mac 1984, Sultan Ahmad Shah turut menerima sumbangan yang disampaikan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia, Mohamed Al-Hamad Al-Shubaili.

Kerajaan Arab Saudi me­nyumbang RM1 juta kepada UIAM untuk pembangunan pendidikan universiti itu. Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan oleh Presiden UIAM ketika itu, Tun Hussein Onn.

Pada 24 Ogos 1993, Dr. Mahathir merasmikan upacara meletakkan batu asas kampus baharu UIAM dengan kos perbelanjaan sebanyak RM672 juta di Gombak, Selangor.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib dan Rektor UIAM, Datuk Prof. Emeritus Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman.

Pada 17 April 2001, Dr. Mahathir merasmikan kampus UIAM dengan reka bentuk seni bina Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 272 hektar itu.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Mei 1983 memuatkan berita “Universiti Islam Antarabangsa didaftar” me­laporkan, UIAM diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 yang memboleh­kan penggunaan bahasa Inggeris dan Arab sebagai bahasa penghantar yang telah meningkatkan orientasi global Universiti.

Penyelaras UIAM ketika itu, Prof. Dr. Ariffin Suhaimi berkata, pendaftaran syarikat “Universiti Islam Antarabangsa” itu telah ditandatangani oleh pendaftar syarikat, Zulkifli Mahmood dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian ketika itu, Tengku Ahmad Rithauddeen.

Dalam laporan itu, Dr. Ariffin berkata, syarikat tersebut mengatur persiapan untuk memohon kelulusan daripada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perjanjian bersama yang ditandatangani dengan Maldives, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bangladesh.

UIAM terus berkembang dan kini mempunyai dua kampus cawangan di Kuantan dan Kuala Lumpur serta Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Universiti ini mengintegrasikan nilai-nilai dan sudut pandang Islam dalam pelbagai bidang pengajian meliputi bidang kemanusiaan, saintifik dan teknikal sesuai dengan slogannya sebagai sebuah “Taman Ilmu dan Budi”.

Ciri-ciri unik ini tersirat dalam falsafah dan logo UIAM. UIAM berhasrat untuk mengangkat kembali umat Islam sebagai peneraju di dalam bidang penerokaan dan penghasilan ilmu dan seterusnya menyumbang ke arah penambahan kualiti kehidupan manusia seluruhnya.

Sesuai dengan status universiti penyelidikan Islam antarabangsa terulung yang dianugerahkan oleh ISESCO pada 17 Disember 2014, UIAM menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan setaraf universiti penyelidikan bertaraf global.

Sehingga 2017, UIAM telah melahirkan seramai 85,854 pelajar di peringkat siswazah dan pasca-siswazah di mana 73,677 terdiri dari warganegara Malaysia dan selebihnya, 12,177 pelajar antarabangsa.

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan    https://bit.ly/2HlLr6Z 

Gambar: utusan.com.my