7 July 2020, Tuesday | 06:14am

Kerajaan perlu pertimbang bantu pengusaha tadika, taska

KERAJAAN disaran mempertimbangkan insentif khas bagi membantu pengusaha tadika dan taska swasta mengurangkan beban yang ditanggung meskipun ketika ini mereka tidak beroperasi.

Ini kerana, mereka masih perlu membayar gaji kakitangan, sewa bangunan dan pembayaran bil utiliti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan Covid-19.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu kerajaan juga perlu segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memungkinkan tadika dan taska dapat beroperasi kerana kedua-duanya adalah kemudahan sokongan kepada ibu bapa yang bekerja.

Katanya, bagi ibu bapa yang kembali bekerja semasa tempoh PKPB, mereka berdepan masalah menghantar dan menempatkan anak di tadika dan taska kerana ia tidak beroperasi.

"Hinggakan ada ibu bapa yang terpaksa mengambil risiko membawa anak ke tempat kerja kerana sudah tiada pilihan lain.

"Perhatian serius juga perlu diberikan berkaitan dengan isu pembayaran yuran di tadika dan taska swasta (yang perlu ditanggung) oleh ibu bapa walaupun sudah hampir tiga bulan anak-anak mereka tidak dihantar ke sana," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penularan takwim sesi persekolahan baru-baru ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa yang masih mencari penyelesaian mengenai penjagaan anak.

Menurutnya, walaupun ada sesetengah tadika dan taska yang memberikan diskaun tetapi tiada sebarang garis panduan khusus atau ketetapan perlu dipatuhi, sebaliknya bergantung kepada budi bicara pihak pentadbiran dan ibu bapa saja.

Sebelum ini tular di media sosial takwim yang menyatakan sekolah menengah akan mula dibuka mulai Jun ini, sekolah rendah (Julai), manakala pendidikan khas, prasekolah dan tadika direhatkan hingga Disember depan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan perkara itu dan memaklumkan sebarang maklumat berkenaan takwim pembukaan semula sekolah hanya akan dibuat melalui medium rasmi kementerian.

 

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro                https://bit.ly/3dsBrGG