24 May 2019, Friday | 11:44pm

Isu Matrikulasi di bawa ke Kabinet

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan membawa isu melibatkan kuota program matrikulasi ke peringkat Kabinet bagi memastikan isu tersebut mendapat jalan penyelesaian terbaik menerusi saluran yang tepat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin malah menegaskan kementerian itu mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit mengenai kemasukan ke program tersebut.

Jelas beliau, Kementerian Pendidikan masih berpegang kepada dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera dengan penambahbaikan dilakukan termasuk memberi peluang kepada 60 peratus pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Oleh itu, kementerian telah melihat semula semua cadangan termasuk cadangan penambahan kuota kaum bukan bumiputera yang perlu selaras dengan dasar dan nisbah asal iaitu 90:10.

“Hanya terdapat 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan setiap tahun sahaja, bermakna dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera. Program ini juga pada asalnya diwujudkan untuk bumiputera sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengambil kira perkara tersebut, Amin berkata, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik akan membawa isu berkenaan ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini untuk mendapat perhatian dan keputusan sewajarnya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan, Jumaat lalu memaklumkan penawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi pengambilan tahun lalu. 

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan     https://bit.ly/2XuJXwd 

Gambar: peraktoday.com.my