23 October 2019, Wednesday | 12:31am

Bantuan Aidilfitri Yayasan PETRONAS buat 330 murid ceria

KUALA TERENGGANU: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 30 murid kurang berkemampuan apabila diberi peluang memilih pakaian raya pada program Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019 di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Lebih menceriakan, ada antara murid kurang berkemampuan dari mukim Batu Rakit dan kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Ladang, di sini turut membawa ibu bapa serta adik-beradik untuk membantu memilih pakaian raya, yang bernilai RM300 seorang.

Malah, bantuan yang diberikan itu turut dikongsi bersama adik-beradik kerana jumlah yang diberikan itu boleh membeli tiga atau empat pasang pakaian.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, berkata setiap murid yang terpilih diperuntukkan sebanyak RM400 seorang, iaitu RM300 berbentuk baucer membeli pakaian raya dan RM100 duit raya.

Katanya, PETRONAS memperuntukkan sebanyak RM132,000 untuk membantu 330 orang di negeri ini bagi meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan selain membangkitkan kegembiraan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Selepas membeli-belah pakaian raya, murid akan dibawa untuk berbuka puasa bersama beberapa pemimpin utama di peringkat negeri, selain bakal menerima duit raya berjumlah RM100 seorang,” katanya ketika ditemui pada majlis PETRONAS Meyantuni Golongan Kurang Berkemampuan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Wan Mohd Hasnan berkata, PETRONAS memperuntukkan sebanyak RM815,000 untuk melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program Sentuhan Kasih membabitkan 2,800 keluarga miskin di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini.

“Setiap keluarga yang terpilih akan menerima makanan keperluan asas, peralatan rumah, hamper dan duit raya,” katanya.

 

 

 

 

 

Sumber: Berita Harian    https://bit.ly/2vWxrKh 

Gambar: bharian.com.my