23 October 2019, Wednesday | 12:34am

161 pelajar kurang berkemampuan terima sumbangan Yayasan PETRONAS

KUANTAN: Seramai 161 pelajar terharu dan teruja apabila diberi peluang memilih pakaian raya pada program Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan PETRONAS 2019 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Setiap pelajar menerima baucer bernilai RM300 untuk membeli pakaian atau barangan kelengkapan lain dan pemilihan penerima dibuat oleh kakitangan PETRONAS dengan kerjasama pemimpin setempat.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, berkata selain baucer pembelian pakaian, penerima juga akan menerima sumbangan wang tunai RM100.

“Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada tumpuan Yayasan PETRONAS kepada aspek ‘Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan’ dan ia bukan saja menumpukan kepada perayaan tertentu semata-mata.

“Paling utama ialah kita berkongsi kegembiraan dengan mereka dan membantu menceriakan serta memeriahkan sambutan Aidilfitri pelajar berkenaan,” katanya.

Wan Mohd Hasnan berkata PETRONAS Wilayah Timur menyediakan peruntukan RM64,400 bagi 161 penerima di negeri ini.

Bagi pasangan adik-beradik, Ainul Mardiyah, 13 dan Aisya Sofea Mohamad Zameri, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS) Temerloh, pemilihan sebagai penerima sumbangan Yayasan PETRONAS dimaklumkan guru sekolah mereka, hujung minggu lalu.

Ainul Mardiyah berkata sumbangan Yayasan PETRONAS itu sangat membantu keluarganya menyediakan kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri.

“Cikgu cakap kami berdua dipilih ke Kuantan oleh Yayasan PETRONAS bagi menerima sumbangan sempena Aidilfitri.

“Memandangkan (baucer) diberikan mereka (Yayasan PETRONAS) untuk kami berdua berjumlah RM600, bolehlah kami belikan sekali pakaian untuk adik-beradik yang lain.

“Kami sangat menghargai sumbangan PETRONAS dan berterima kasih kepada semua pihak yang membawa kami dari Temerloh ke Kuantan, dan petang ini berpeluang berbuka bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di hotel terkenal,” katanya.

Bermula 8 Mei lalu hingga 15 Jun ini, Yayasan PETRONAS bersama beberapa agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan PETRONAS akan mengagihkan sumbangan sepanjang bulan Ramadan, diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan Aidilfitri.

Secara keseluruhannya, Yayasan PETRONAS akan menyediakan peruntukan RM815,000 untuk diagihkan kepada 2,800 penerima di seluruh negara.

 

 

 

 

 

Sumber: Berita Harian     https://bit.ly/2EtJgMF 

Gambar: utusan.com.my