Timbalan Menterinya, P. Ka­ma­lanathan berkata, langkah itu menjadikan konsep pembelajaran lebih menarik dengan setiap orang boleh mengambil bahagian walaupun mereka tidak lagi berada dalam sistem persekolahan biasa.

 

Beliau berkata, konsep ini di­terjemahkan oleh kementerian dengan menggalakkan orang ramai mengambil kesempatan daripada peluang yang disediakan oleh Kolej Komuniti.

 

“Konsep ini semakin mendapat tempat kerana setiap orang boleh mempelajari sesuatu pengetahuan baharu tanpa perlu me­ninggalkan kerjaya masing-ma­sing kerana ia dilaksanakan secara fleksibel,” katanya.

 

Beliau berkata demikian keti­ka menutup Program Jelajah Kementerian Pendidikan di Perda City Mall, di sini hari ini.

 

Sebanyak 40 gerai yang mem­ba­bitkan penyertaan daripada ja­batan dan bahagian di Sektor Pelajaran dan Pendidikan Tinggi serta Jabatan Pendidikan negeri menyertai pameran berkenaan yang bermula 1 Mei lalu dan ber­akhir hari ini.

 

Tegas Kamalanathan, kementerian telah meletakkan asas yang kukuh bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja bersaing di peringkat tempatan, bahkan mampu menjadi pemain utama di peringkat global.

 

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 meletakkan kualiti pendidikan berada di tahap ter­tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

 

“Ia sudah menunjukkan kesan positif apabila semakin ramai pelajar anatarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka,” katanya.

 

Sebagai contoh katanya, bidang pendidikan vokasional bu­kan sahaja menjadi taruhan baharu kementerian untuk melahirkan modal insan, malah dapat membantu para pelajar memahami persekitaran kerja yang pesat berkembang dan diperlukan negara bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

 

Ujarnya, bagi mencapai hasrat itu, kementerian sedang mentranformasikan secara menyeluruh konsep pendidikan, termasuk pendidikan teknik dan vokasio­nal dengan harapan setiap orang mempunyai peluang berdasarkan kemampuan dan bakat masing-masing.

 

Sumber: Utusan Online