19 December 2018, Wednesday | 10:32am

Profesion suci, mulia

Kuala Lumpur: Begitu menakjubkan apabila seorang guru mampu membentuk anak didiknya menjadi insan berjaya bukan saja dalam akademik, malah dari sudut sahsiah yang cemerlang.

Mengakui kehebatan dimiliki golongan terbabit, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berharap guru masa kini dapat meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi.

Ini kerana peranan guru dilihat lebih mencabar berikutan kepesatan teknologi yang membawa kepada perlunya pendekatan pengajaran dan pembelajaran lebih dinamik.

“Biarpun berdepan cabaran baru, saya yakin dan berharap guru mampu terus mainkan peranannya dengan komited dan berkesan,” katanya.

Selaras tema Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak, Idris menyifatkannya cukup sesuai dan tepat bagi menggambarkan tanggungjawab guru untuk membawa murid ke arah keseimbangan itu.

“Seperti saya sebut sebelum ini mengenai kepentingan formula A2 iaitu akhlak dan akademik dalam merealisasikan kecemerlangan murid, saya percaya gurulah penyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Bagi Idris, makna Hari Guru cukup besar buatnya, memandangkan inilah masanya untuk murid menzahirkan penghargaan atas pengorbanan guru.

Selain memberi peluang kepada beliau sendiri untuk melakukan persembahan bersama rakan khusus untuk guru seperti membaca sajak, berpuisi dan menyanyi, Idris mengakui teruja melihat semangat guru menyanyikan lagu dan berikrar pada hari berkenaan.

“Setiap hari kita menghormati dan menyayangi guru, namun pastilah hari guru lebih istimewa kerana ia adalah detik meraikan guru secara khusus,” katanya.

Idris berkata, kejayaan dua pelan pendidikan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan PPPM (Pendidikan Tinggi) terletak di tangan guru.

“Guru adalah golongan pelaksana pelan ini dan ingin saya nyatakan di sini, PPPM juga bermatlamat memperkasakan profesyen guru, bukan semata-mata meningkatkan prestasi murid,” katanya.

Berkongsi kenangan bersama guru, Cikgu Ali atau Ali Uban antara nama yang disebut sebaik ditanya mengenai guru yang paling meninggalkan kesan kepadanya hingga menjadikan beliau seperti hari ini.

Jelasnya, Cikgu Ali ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jerteh, antara individu yang mendorong keluarganya menyokong hasrat beliau untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak.

“Istimewanya mengenai Cikgu Ali, beliau rapat dengan murid serta keluarga. Beliau juga terkenal sebagai guru besar yang banyak memainkan peranan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Idris menyebut nama Lau Hut Yee sebagai guru yang bukan saja meninggalkan memori indah ketika di STAR, malah Cikgu Lau masih berhubung dengannya sehingga kini.

“Cikgu Lau mengajar Sains ketika itu. Beliau mengajar penuh komitmen dan bersemangat, malah keikhlasannya terserlah,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Idris berkata, beliau melihat profesion guru cukup suci dan mulia.

“Suci kerana guru ibarat pelukis manakala anak murid pula kain putih yang bakal dicorakkan dengan ilmu dan akhlak. Mulia kerana profesion ini menuntut seluruh jiwa, keikhlasan dan pengorbanan.

“Mungkin itulah juga sebabnya saya tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. Secara dekat saya berpeluang melihat bagaimana isteri saya bersungguh-sungguh dan sabar di sekolah dan pada masa sama di rumah sebagai ibu yang mendidik lima cahaya mata kami.

“Dengan rendah diri dan penuh kesyukuran, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia,” katanya.

 

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/50757#sthash.QtGx87NY.dpuf