Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, kementeriannya akan mengenal pasti cara terbaik untuk memperbaiki PPPM agar dapat melonjakkan tahap pendidikan negara.

 

Katanya, dalam gelombang pertama PPPM yang akan berakhir pada tahun ini, terdapat beberapa indikator yang telah mencapai kejayaan seperti peningkatan untuk Linus Tahun satu literasi bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

 

“Namun, ada juga indikator-indikator yang kami rasa kurang mencapai dan ada yang (sememangnya) masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

 

“Justeru, secara keseluruhan, kita tidak boleh berpuas hati kerana ada banyak lagi ruang yang boleh ditambah baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis prapelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-44 di sini hari ini.

 

Jelas Kamalanathan, PPPM akan membantu melonjakkan pencapaian murid dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit.

 

“Oleh itu, saya yakin apabila kita selesai pengiraan gelombang pertama PPPM 2013-2015, kita akan berjaya mencapai lebih banyak indikator dan ini akan membantu dalam proses penambahbaikan pencapaian kita yang seterusnya.

 

“Kepercayaan guru terhadap PPPM serta kerjasama mereka kepada Kementerian Pendidikan membolehkan kita melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha ini akan diteruskan kerana gelombang pertama ini tidak akan berakhir begitu sahaja malah akan dibawa ke gelombang kedua dan seterusnya,” katanya.