19 November 2018, Monday | 06:20pm

Wujudkan suasana ceria di sekolah

 

NILAI: Pemimpin pendidikan di negara ini disaran meningkatkan kecekapan diri dengan mewujudkan suasana ceria di sekolah bagi memastikan institusi pendidikan itu bersifat penyayang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemimpin juga perlu menggerakkan perubahan pendidikan, amanah, proaktif, pantas, kreatif serta inovatif.

Katanya, warga pendidik perlu sedar mengenai perkembangan pendidikan global yang memerlukan murid mendepani kehidupan kompleks seperti bidang sosial, politik dan ekonomi.

"Mendepani cabaran globalisasi ini, pihak Kementerian Pendidikan memacu beberapa inisiatif termasuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Pembelajaran Abad ke-21 dan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Menjadi hasrat (KPM), mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia yang menyediakan kemahiran kritikal masa depan," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan kali ke-25 di Institut Aminuddin Baki, di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan pegawai khasnya, Mahmud Kassim.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Khidmat Latihan) yang menanggung kerja Pengarah IAB, Mistirine Radin.

Seminar empat hari disertai 402 warga pendidik dari seluruh negara.

Menurut Dr Maszlee, dunia kini berada di Revolusi Industri Keempat (RI4.0) yang menuntut perubahan dalam pendidikan, maka dengan itu pemimpin perlu meningkatkan kemenjadian murid.

Beliau berkata, guru juga harus memahami cabaran dunia digital yang memerlukan mereka memahami isu dan tanggungjawab sosial dalam konteks tempatan mahupun global.

Sumber: Berita Harian Online