24 October 2018, Wednesday | 03:34am

Syor nisbah 2 guru 1 kelas - NUTP

 

KUALA LUMPUR: Pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid bakal merencatkan proses pengajaran jika tiada penambahbaikan beberapa aspek pembelajaran dalam tempoh setahun.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata perubahan sedemikian sepatutnya disusuli peruntukan dua guru dalam satu kelas, selaras transformasi pembelajaran abad ke-21 yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Katanya, peningkatan tenaga kerja, iaitu pembantu guru berupaya meningkatkan kualiti pembelajaran dengan memberi penekanan tambahan kepada murid yang mempunyai aspek kecerdasan berbeza.

"Kita sudah minta perkara ini (tambahan nisbah antara guru dan kelas) sejak 20 tahun lalu, tetapi Kementerian Pendidikan kata ia tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan kewangan.

"Transformasi pendidikan hanya akan berjaya jika kita berupaya merungkai kekangan. Jangan biarkan Dasar Pendidikan Negara sekadar maju di atas kertas, namun aspek pelaksanaan di lapangan lain ceritanya.

"Usaha kementerian untuk memansuhkan pengasingan kelas langkah baik, cuma ia harus disusuli dengan penambahbaikan beberapa aspek bagi menjamin keberkesanan dan kualiti pembelajaran," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Kementerian Pendidikan, semalam mengarahkan pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid, menjelang 2019, selaras Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang mula dilaksanakan tahun ini.

Susulan kekangan kewangan, Kamarozaman berkata, penyelesaian alternatif yang boleh dilakukan kementerian adalah mengurangkan saiz kelas dengan mengehadkan bilangan murid seramai 30 orang seperti dilakukan negara maju.

Beliau berkata, matlamat pelaksanaan itu masih sama, iaitu meningkatkan kadar tumpuan guru terhadap murid sepanjang proses pembelajaran, selain mengenal pasti kelompok yang memerlukan penekanan tambahan.

"Pelajar mempunyai lapan tahap kecerdasan berbeza, justeru tumpuan yang perlu diberikan guru juga berlainan mengikut penguasaan mereka bagi mengelakkan mereka tercicir dalam aspek pembelajaran.

"Kalau dulu, masalah seperti ini berupaya diatasi menerusi pengasingan kelas, namun sekarang guru terpaksa mengubah cara pengajaran dan tumpuan terhadap murid dengan tahap penguasaan akademik berbeza apabila mereka dicampurkan," katanya.

Selain itu, Kamarozaman menyifatkan pemberhentian pelaksanaan sekolah kawalan adalah langkah tepat dalam usaha kerajaan mengurangkan peningkatan bebanan kos sara hidup.

Katanya, ibu bapa kini tidak perlu memperuntukkan belanja tambahan terhadap kos pengangkutan dan sara hidup anak mereka apabila terpaksa mendapatkan pendidikan di institusi yang jauh dari rumah kerana tidak layak masuk ke sekolah kawalan.

"Keputusan ini sangat tepat kerana ia berupaya mengurangkan penghijrahan yang memerlukan ibu bapa terpaksa menanggung kos tambahan, selain menimbulkan beberapa isu sampingan seperti pengurusan waktu dan aspek pemantauan," katanya.

Sumber: BHOnline