19 November 2018, Monday | 06:20pm

Program berbentuk pendidikan di Sarawak perlu kerjasama padu

 

BINTULU: Program berbentuk pendidikan memerlukan kerjasama padu bagi memastikan transformasi pembangunan modal insan dan pendidikan di Sarawak berjalan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi berkata, kerajaan Sarawak mengalu-alukan program berbentuk pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan pelajar serta melahirkan modal insan yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Katanya, usaha yang dilakukan secara muafakat adalah satu pendekatan yang membawa kebaikan kepada semua pihak.

“Petronas sejak sekian lama komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka sebagai sebuah entiti korporat nasional dan pemegang amanah khazanah sumber asli negara terutamanya terhadap agenda pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar di Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) ‘Back to School 2018’ Peringkat Negeri Sarawak yang disertai 75 pelajar di Kelab Kidurong Bintulu semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Mataip Sayu, Ketua Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Lau Siong Lee dan Penyelaras Unit Kokurikulum PPD Bintulu, Puyang Ngau Wan.

Majang berkata, usaha Petronas juga sejajar dengan sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara teratas dunia dalam pelbagai bidang dan aspek.

Majang yang pernah bekerja di syarikat itu melihat pelbagai bentuk kejayaan telah dicapai melalui bentuk tajaan dan program-program pendidikan Petronas.

Justeru, beliau berharap anak-anak yang menerima sumbangan serta tajaan akan dapat mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan dan menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau menasihati para pelajar agar menggunakan peluang yang disediakan dalam program itu untuk menimba ilmu dan mengumpul pengalaman ke arah kejayaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Strategi dan Perhubungan Petronas Pejabat Wilayah Sarawak Shamsur Taha berkata, sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab serta pemegang amanah khazanah negara, Petronas sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat Malaysia.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan di seluruh negara menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan tiga keutamaan iaitu Pendidikan, Pembangunan dan Kesejahteraan Masyarakat dan Pemuliharaan Alam Sekitar.

“Sehingga kini, PSIP yang berteraskan pendidikan dan peningkatan kebolehupayaan telah memberi manfaat kepada 36,000 pelajar termasuk dalam kalangan anak jati negeri ini.

“PSIP merupakan satu komitmen jangka panjang Petronas dalam menjayakan inisiatif pembangunan pendidikan dan modal insan,” ujarnya sambil menambah program itu melibatkan para pelajar dari SK Bintulu, SK Sg Tisang, SK Bekenu dan SK Kuala Baram II.

 

Sumber: Utusan Borneo Online