16 December 2017, Saturday | 11:08am

MaGICX UTM lancar bilik kuliah masa hadapan

JOHOR BAHRU 21 Ogos – Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Cisco System Malaysia melancarkan konsep bilik kuliah masa hadapan atau dikenali sebagai Classroom of Future.

Pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sempena lawatan kerja ke universiti awam berkenaan baru-baru ini.

Pengarah MaGICX, Prof. Madya Dr. Mohd. Shahrizal Sunar berkata, konsep bilik kuliah masa hadapan itu menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) dan Cisco Spark bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih interaktif.

“Penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu penuntut merasai pengalaman seperti berada dalam situasi sebenar dan mereka dapat berinteraksi dengan pensyarah atau pakar yang berada di tempat lain dalam masa nyata.

“MaGICX menggunakan kepakaran mereka dalam membantu membangunkan inovasi pembelajaran berasaskan teknologi digital bagi pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Mohd. Shahrizal berkata, teknologi VR sangat signifikan untuk menyokong penuntut berinteraksi dengan kandungan pembelajaran di samping dapat merasai pengalaman berada dalam situasi sebenar selain dapat mengurangkan kos pembelajaran.

Jelasnya lagi, penggunaan teknologi VR juga membolehkan mahasiswa dan pensyarah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dapat belajar seperti berada di pelantar minyak di tengah laut tanpa perlu berada di tempat sebenar.

“Teknologi ini boleh digunakan mahasiswa dan pensyarah pelbagai jurusan yang memerlukan pendedahan dan pengalaman sebenar di lapangan tanpa perlu hadir di lokasi sebenar.

“Konsep Pendidikan Juke Box dalam mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi merupakan salah satu pendekatan pendidikan salah satu pendekatan pendidikan yang melangkaui kampus dan sempadan,” ujarnya.

Tambahnya, konsep tersebut juga membolehkan penuntut mengambil bahagian dalam program ditawarkan serta menggunakan fasiliti dan sumber di UTM tidak kira di mana mereka berada.

 

Sumber: Utusan