19 November 2018, Monday | 06:20pm

Buang stigma TVET pendidikan kelas kedua

KUALA LUMPUR – Golongan pelajar perlu membuang stigma bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah kelas kedua kerana kemahiran yang diperoleh sebenarnya menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada mereka.

Wakil UMNO Johor, Abd. Taib Abu Bakar berkata, di Jerman hanya 21 peratus masyarakatnya memilih bidang akademik manakala selebihnya tertumpu kepada bidang kemahiran kerana TVET di­lihat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Tidak semua orang sukakan persekitaran bilik kuliah dan tidak bermakna mereka yang tidak mempunyai potensi atau berjaya dalam akademik tiada masa depan. Itu semua hanya stigma.

“Sebenarnya ramai anak Melayu lebih berminat dalam bidang kemahiran dan jika kita tidak memperkasakan bidang ini, anak Melayu yang berbakat mungkin akan terpinggir,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Abd. Taib berkata, sekiranya masyarakat terus berpanda­ngan TVET itu pilihan kedua, maka akan menggagalkan hasrat Malaysia menjadi negara maju berikutan masalah pengangguran tidak dapat diselesaikan.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ia­­lah ramai kala­ngan ibu bapa terlalu mem­fokuskan masa depan anak-anak berasaskan pencapaian akademik iaitu pada subjek Sains, Teknologi dan Matematik.

“Sebagai contoh, bidang aeroangkasa saban tahun permintaan kemasukan mening­kat walhal keperluan industrinya terhad, maka akhirnya ramai graduan menganggur,” katanya.

Beliau menambah, ekonomi abad ke-21 menuntut masyarakat dunia menumpukan kepada bidang kemahiran dan latihan serta daya pemikiran inovatif.

 

 

 

 

Sumber : Utusan              http://buff.ly/2gX9DzX

Gambar : padu.edu.my